Wednesday 9 December 2015

5 Cara Rasulullah s.a.w. Mengurus Kesusahan

Bismillah wa alhamdulillah...


3 hari menuju bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. 

Orang kata, tak kenal maka tak cinta. 

Jadi sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., salah satu cara pembuktian rasa kecintaan kita kepada Nabi adalah dengan mengenali kehidupan baginda.

Rasulullah s.a.w. dilahirkan sebagai anak yatim. Setelah berumur 6 tahun, baginda diuji lagi dengan kewafatan ibu kandung baginda, Aminah. Setelah itu, baginda dijaga oleh datuk baginda, Abdul Mutalib sehingga beliau juga wafat. Kemudian, Rasulullah dijaga oleh ayah saudara baginda, Abu Talib.

Hidup baginda tidak bermandikan kemewahan.

Bagaimana Rasulullah mengurus kesusahan?

1. Rajin bekerja

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai pekerjaan tetap. Namun baginda seorang yang sangat rajin bekerja. Antara pekerjaan yang dilakukan oleh Nabi:
  • Mengambil upah mengembala kambing Bani Sa'ad.
  • Juga mengambil upah mengembala kambing milik penduduk Mekah.
2. Redha dan sabar dengan ketentuan Allah

Baginda menghadapi hari-hari getir dengan penuh redha, sabar dan cekal. Rasulullah s.a.w. membesar sebagai remaja yang baik hati, disenangi oleh orang lain dan sangat ringan tulang (suka membantu). Baginda kaya dengan budi pekerti mulia.


Bekerja sebagai pengembala kambing bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan kudrat yang banyak dan kesabaran yang tinggi. Rasulullah tak pernah bersungut apatah lagi mengeluh dengan takdir yang telah dicorakkan untuknya. Setiap tugas dikerjakan dengan rasa senang hati dan penuh kesyukuran. Baginda sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

3. Amanah dan jujur.

Baginda amat terkenal dengan sifat amanah semasa bekerja. Baginda digelar 'Al-Amin'. (Yang Amanah) lantaran sifat amanah yang dimiliki.

Ketika berniaga, Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengambil untung dengan cara yang salah apatah lagi melakukan penipuan dalam berniaga. Jauh sama sekali. Kejujuran dan ketelusan semasa berniaga sentiasa menjadi keutamaan. Oleh kerana itulah, keuntungan yang baginda perolehi berlipat-lipat kali ganda.

4. Tidak ambil kesempatan dan tidak berlaku zalim terhadap orang lain.

Berbekalkan modal yang diberikan oleh Khadijah r.h.a., Rasulullah menjalankan perniagaan dengan baik. Baginda ditemani oleh pembantu Khadijah iaitu Maisarah. Maisarah banyak bercerita mengenai kemuliaan Rasulullah kepada Khadijah.

  • baginda bersungguh-sungguh semasa berniaga
  • baginda seorang yang bijak
  • baginda tidak menzalimi orang lain bagi mendapatkan rezeki
  • baginda tidak mengambil kesempatan atas kepercayaan orang lain
  • baginda bijak menggunakan peluang yang diperolehinya ke arah kebaikan dan kemajuan diri
  • baginda tidak pernah berlaku zalim terhadap harta yang diamanahkan kepada baginda
  • baginda sangat teliti terhadap hak orang lain

5. Kuat semangat dan tidak menyalahkan takdir.

Rasulullah s.a.w. diamanahkan oleh Allah s.w.t. bagi menyebarkan Islam, bermula dengan dakwah rahsia sehingga kepada terang-terangan. Setelah Islam disebarkan secara terbuka, kaum kafir sangat marah sehingga memboikot semua orang Islam. Natijahnya bekalan makanan terputus. Mereka sangat sengsara sehingga terpaksa memakan daun-daun dan tulang-tulang kering.

Harta umat Islam banyak digunakan ke jalan dakwah. Ujian yang dihadapi oleh Rasulullah dan umat Islam yang lain bukan calang-calang. Keluhan berat kedengaran daripada kanak-kanak dan wanita yang kelaparan. Namun Rasulullah sangat kuat semangat menghadapi hari-hari yang sukar ini. Tidak pernah langsung baginda menyalahkan takdir Allah s.w.t. ke atas umat Islam.

Berkat kesabaran tersebut, mereka bebas daripafa cengkaman kafir Quraisy. Akhirnya kemenangan berpihak kepada Islam. Banyak harta menjadi milik Islam melalui beberapa peperangan. Islam juga menjadi agama yang disegani. Syukurlah Islam dikurniakan umat yang sabar ketika diuji dengan kesusahan pada awal kebangkitan Islam.

Semoga kita semua dapat mengambil pelajaran dan mencontohi akhlak Rasulullah.

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad!



Salam sayang, 

Nurul Aini || 013-720 0029 
Sahabat Shaklee Anda, 1103786

No comments: